Saturday, January 15, 2011

Risau Peristiwa Thafiqah Bani Sa'idah Dalam PAS Kelantan.

Baru saja saya kembali dari majlis perjumpaan YAB. Menteri Besar Kelantan dan bloggers di Hotel Grand Season KL. Hajat hati nak bertanya beberapa soalan tapi masa yang diperuntukan sering mencemburui saya maka saya pendamkan saja hajat tersebut. Terima kasih tidak terhingga saya kepada Allah kerana menemukan saya dengan sahabat lama saya yang telah terpisah sejak 20 tahun lalu iaitu YB.Che Abdullah Nawi, walaupun sudah bergelar EXCO tapi beliau masih mengenali saya dan beliau menegur saya terlebih dahulu. Inilah contoh pemimpin yang qanaah ,tidak lupa asal usul , ingat daratan dan yang pentingnya sikap  down to earthnya. Berbalik pada cerita pertemuan tadi maka media ini dirasakan terbaik untuk saya sampaikan pandangan yang ikhlas tanpa berbaur apa-apa maksud lain melainkan sayang kepada jemaah yang sudah lama terbentuk atas usaha gigih YAB. Tok Guru dan hawariyyunnya.

PAS telah mentadbir Kelantan sudah mencapai usia 21 tahun dan telah melalui segala dugaan yang pahit manis dan warnanya penuh bervariasi, itu adalah fakta yang tak tersanggah. Apa yang ingin saya utarakan ialah sejak akhir-akhir ini YAB. Tok Guru amat tidak memihak kepada jemaah dari sudut kesihatannya. Apa yang merisaukan saya ialah sekiranya sampai masanya secara husnul khatimah beliau dijemput oleh "Kekasihnya" maka disitu siapa akan menjadi pengganti beliau untuk mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam yang telah beliau terapkan selama ini. Mati adalah janji Allah yang pasti datang kepada setiap makhluknya.

Apa yang menjadi kerisauan saya ialah takut peristiwa Thafiqah Bani Sa'idah akan berulang di Kelantan. Dalam peristiwa tersebut Baginda Rasul meminta sesaorang sediakan kalam dan kertas untuk menulis wasiat  terakhir Baginda tetapi ini telah dinafikan oleh Omar Alkhattab atas alasan Baginda sedang gering dan cukuplah Quran dan Sunnah yang Rasul tinggalkan  untuk kami. Ekoran peristiwa itu maka berlakulah bibit perpecahan dalam Islam dimana Ali dan penyokongnya tidak dapat menerima sehingga beliau tidak membai'ah Abu Bakar sebagai Khalifah Islam untuk beberapa waktu yang lama . Kemuncak kepada perpecahan itu maka merebaklah sehingga tercetusnya perang Jamal dan Siffin antara syi'ah (pengikut)  Ali menantu Rasul disatu pihak dan Siti A'ishah Ummul Mukminin Isteri Rasul di pihak yang satu lagi. Saya berpendapat peristiwa tersebut tercetus adalah disebabkan oleh pandangan hak kepimpinan ummah yang berbeda antara dua kelompok tersebut yang mana kedua-duanya betul dan mempunyai hujjah yang cukp ampuh diatas tindakan yang mereka ambil. Sehinggakan para ahli sejarah islam menyebut zaman itu sebagai zaman "Fittun Qubra".

Jadi menjadi keriasauan saya ialah apakah setelah perginya Tok Guru ke hadhrat "Kekasihnya" akan berlaku perpecahan merebut kepimpinan dalam PAS Kelantan dek kerana tiada wasiat khusus tentang siapakah pengganti Tok Guru untuk meneruskan kepimpinan yang berdasarkan Islam di Kelantan negeri tadahan wahyu itu. Dalam hal ini saya yakin Tok Guru sudah mempunyai calun yang difikirkan sesuai oleh beliau tetapi atas dasar untuk mengelakan pertikaian maka dipendamkan dulu dalam kepalanya tanpa dihebahkan pada sesiapa. Bagi saya kalau untuk menelusuri usul fiqh yang selalu disebut dan dijadikan sandaran dalam setiap gerak kerja PAS maka adalah lebih baik jangan biarkan perkara ini ditentukan oleh proses demokrasi dalam jemaah PAS kerana demokrasi hanya boleh diikut selagi ia tidak mencarik syara' dan menguntungkan Islam. Untuk mengelakkan fitnah besar dalam jemaah diwaktu  ketiadaan Tok Guru untuk dijadikan watak rujukan eloklah perkara ini diputuskan sekarang dikalangan watak-watak yang berwibawa dalam jemaah PAS. Watak yang berwibawa ini maksudnya ialah watak yang amanah, wara' , tiada kepentingan diri, tawaddu' dan jiwanya 100% diserahkan kepada Islam.

Respon kemenangan 23 kerusi UMNO Kelantan

Terkejut beruk saya bila membaca kenyataan Tok Stopa selaku ketua perhubungan UMNO Kelantan yang menegaskan dengan penuh yakin UMNO akan memenangi sebanyak 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam satu majlis UMNO yang diadakan di Macang Kelantan beberapa minggu yang lepas. Setelah beliau buat kenyataan tersebut sudah pasti satu laporan analisa kenapa beliau sampai kepada konklusi tersebut dihantar pada Ibu Pejabat (HQ) UMNO untuk makluman Presiden UMNO. Sebelum laporan tersebut sampai kepada Presiden UMNO ia mesti disaring dan dibaca oleh pegawai-pegawai di HQ. UMNO seperti Dato Rauf, Dato' Ellis atau En Zukeri.

Saya pasti dan yakin Tok Stopa tidak memetik perangkaan yang menyegarkan itu dari udara tetapi fakta dan figur itu di bekalkan oleh setiap ketua bahagian UMNO Kelantan. Contohnya Dato Abdullah Mat Yasin dari Rantau Panjang akan bentangkan kepada Tok Stopa culaan menang kalah di bahagian Rantau Panjang. Begitu juga bahagian Pengkalan Cepa saudara Dali selaku ketua bahagian akan buat culaan menang kalah di bahagiannya dan begitulah seterusnya dengan bahagian lain. Maka dalam menggapai matlamat untuk menyedapkan hati Tok Stopa maka setiap ketua bahagian akan membuat desk report yang berdasarkan "Laporan Asal Bapak Senang"(ABS) meminjam kata Abe Zainal.

Maka urutan tindakan "pandirisma" (dari nama pak pandir) seterusnya giliran Tok Stopa pula memanjatkan laporan ABS kepada Presiden UMNO menyatakan dengan gahnya bahawa UMNO Kelantan sudah pulih dan mampu memenangi dan memerintah Kelantan dalam PRU 13. Ironinya Tok Stopa tak terfikir kah dibenak intelektualnya bahawa culaan DUN Cempaka yang dibuat oleh Dali akan dimenangi oleh UMNO itu adalah bahan jenaka dan lelucon yang diceritakan oleh Pak Pandir pada Mak Andihnya?. Tok Stopa tak pernahkah membelik buku sejarah pilihanraya Kelantan bahawa DUN Cempaka tak pernah dimenangi oleh UMNO. Siapa Dali kalau nak dibandingkan dengan Nik Aziz Nik Mat?. Alahai Tok Stopa ni tak terasa malukah dia menghantar laporan yang sedemikian kepada HQ. UMNO untuk di tatapi oleh Najib selaku Presiden parti. Usahkan nak sampaikan pada Najib , bahkan setakat eksekutif HQ. UMNO pun dah tak layak untuk membazirkan kecerdikan Dato' Elis, Dato' Rauf hatta En. Zulkeri sekalipun untuk membaca dan mencerakin sampah yang dihantar oleh Tok Stopa pada mereka. Saya yakin dan percaya En. Zulkeri akan mengilai sampai terguling-guling dengan telatah ketua perhubungan UMNO Kelantan dan laporan yang dihantarnya.(not to mention Dato Elis the sharp and genious chap)

Apabila selesainya PRU13 dan natijahnya UMNO kalah lagi maka disitu Tok Stopa akan ditanya oleh MKT. UMNO dalam proses membuat analisa pilihanraya kenapa UMNO Kelantan kalah lagi sedangkan laporan yang diterima adalah sebaliknya, dan berkatalah Tok Stopa setelah di nasihatkan oleh Jemi Stapo setpolnya bahawa saya berkata demikian kerana itulah yang diberitahu oleh setiap ketua bahagian kepada saya. Lalu teringatlah saya akan lagu rakyat semasa kecil dulu iaitu lagu katak panggil hujan. Kalau nak tahu secara terperinci lagu ini kena tanya ahli parlimen Pasir Mas.

Friday, December 31, 2010

Pendatang Tanpa Izin/Pendatang Haram : Point To Ponder

Lebih kurang 2 juta pendatang haram yang bermustautin di Malaysia. Istilah haram yang diberikan kepada mereka kerana samada mereka masuk negara ini tanpa duokumen yang sah, tinggal lebih tempoh yang dibenarkan, menyalahguna pas lawatan atau  penggunaan dokumen palsu.


Apabila terlalu ramai puak-puak ini maka kerajaam akan menghadapi bermacam-macam masalah seperti ekonomi, sosial , jenayah dan yang paling penting ialah keselamatan negara. Pendatang haram yang berada di Malaysia terdiri dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Thailand , China, Vietnam , India dan Africa. 


Persoalan timbul kenapa Malaysia tidak mampu mengawal negara dari dicerohi oleh puak-puak persona non grata ini (orang yang tidak di alukan). Padahal kita ada banyak agensi penguatkuasa seperti imigeresen, polis, agensi penguatkuasa maritim, TLDM, PGA, RELA, Kastam, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain lagi. 


Apakah pasukan penguatkuasa kita tidak begitu cekap dalam menjaga kemasukan mereka secara haram, atau kita tidak cukup peralatan yang tepat untuk tujuan ini atau kita menghadapi masalah kakitangan yang menjalankan tugas tidak jujur dan sambil lewa atau meletakan kepentingan diri lebih utama berbanding dengan tanggungjawab yang mana rakyat membayar gaji di atas amanah tersebut. Secara umumnya pusat tahanan pendatang haram diseluruh negara sudah tidak mampu lagi untuk menampung tahanan yang ditahan dan proses penahanan mereka sebelum dihantar pulang memakan belanja yang tidak sedikit. Kos yang terlibat ialah pembinaan bangunan, penyediaan pengawas, makan minum dan lain-lain kos yang terpaksa ditanggung oleh wang hasil titik peluh dan cukai  rakyat Malaysia. 

Apakah fenomena ini akibat dari konsep "disitu ada masalah disitu ada peluang" yang diamalkan oleh mereka yang boleh digelar sebagai pengkhianat negara tak kira samada mereka ini tekong darat rakyat biasa, pegawai kerajaan, atau penguasa elit politik yang bekerja demi kepentingan perut dan sanggup menjual negara. Kalau inilah sikap sebenar rakyat, pegawai kerajaan, elitis politik atau siapa sekalipun elok pihak kerajaan meluluskan satu undang-undang yang paling ketat dan hukuman yang menggerunkan kepada siapa yang didapati bersekongkol dalam mencipta fenomena yang meresahkan negara.  Kenapa kita tak boleh meniru Singapura yang bersikap tegas terhadap pendatang haram dinegaranya, kenapa kita tak tiru USA atau German yang cukup tegas menjaga sempadan negaranya. Kebanyakan pendatang haram ini adalah dari kelompok IMG (industrial manual group) yang tidak boleh ditumpang ilmunya untuk menambah koleksi pengtahuan di perpustakaan negara kerana mereka kerja pakai tenaga bukan pengtahuan. Apa yang paling menakutkan kita ialah kalau mereka ini memang dilantik khas oleh negara asal mereka untuk menyamar dan mengintip rahsia - rahsia strategik negara dan terus menjadi 'trojan horse' kepada negara sehinggalah suatu hari nanti Malaysia jatuh sebagaimana jatuhnya Troy akibat kemasukan kuda kayu.     

Tuesday, December 28, 2010

Syi'ah Atau Sunnah : Kedua-duanya Benar.

Setelah jatuhnya kekaisaran Syah Al Pehlavi di Iran  pada 1979 ramai orang yang bertanya-tanya tentag mazhab syi'ah yang dianuti oleh majoriti manusia di Iran,Syria, Lubnan, Iraq, Kuwait, Yaman, India, Afghanistan dan Pakistan. Pertanyaan yang diajukan biasanya antara lainnya berbunyi " : Apakah sebenarnya mazhab syi'ah itu?, apakah perbedaan prinsipal antara kelompok syi'ah dan kelompok lain Islam terutamanya kelompok Ahlussunah Wal Jamaah.


Ada sebahagian manusia yang hanya membaca tulisan dan artikal yang ditulis oleh orientalis yang biasanya sangat benci dan curiga kepada Islam dan kaum muslimin dan kerananya mereka akan selalu berusaha memutarbelitkan segala fakta, dengan harapan dapat mengacau dan melemahkan ikatan persaudaraan antara muslimin serta menimbulkan fitnah dan pertikaiaan yang tiada penghujungnya. Maka dengan sendirinya  para pembaca buku-buku tulisan orientalis ini yang tidak memiliki pengtahuan yang cukup dan fakta yang benar akan mudah terpengaruh, seakan-akan Islam ini sudah terpecah dan terkoyak-koyak sedemikian rupa sehingga terdapat apa yang dikatakan sebagai Islam Syi'ah,  Islam Sunnah dan macam-macam lagi.


Ada sekelompok kecil kaum muslimin yang termakan oleh gulai kawah kaum orientalis sehingga tidak sedar mereka telah berperanan menanamkan benih - benih kebencian dan permusuhan sesama Muslimin dari kelompok mazhab yang berbeda. Sebetulnya Syi'ah adalah tempat pelarian yang ampuh bagi mereka yang hendak menjatuhkan Islam, samada kerana mereka menganggap Islam sebagai musuhnya atau kerana rasa dengki atau kerana mereka hendak memasukkan ajaran nenek moyang mereka atau agama mereka seperti Yahudi, Nasrani, Zoroaster atau Hindu yang mereka inginkan kemerdekaan bagi negaranya dari pemerintahan Islam. Mereka ini menggunakan Syi'ah sebagai perisai yang mereka letakkan di depan niat mereka yang hakiki. (lihat buku: Fajar Islam tulisan Ahmad Amin  bab Syi'ah ms. 354 terbitan bulan bintang 1968 )


Ada pula orang yang menuduh bahawa kitab suci Al Quran Syi'ah yang dimiliki kaum Syi'ah tidak sama dengan Al Quran yang dibaca oleh kaum muslim lainnya, mereka "mempertuhankan" Ali serta Imam keturunannya dan dalam masa yang sama mengkafirkan sahabat Rasulullah saw seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman. Sedangkan tuduhan tersebut sudah sering dibantah oleh para Ulama Syi'ah Imamiah/Ja'afariyah yang merupakan kelompok terbesar  kaum Syi'ah secara keseluruhannya. 

Sebenarnya Al Quran yang dibaca oleh kaum Syi'ah adalah sama seperti al Quran yang dibaca dan dimiliki oleh kaum muslimin lainnya. Sedangkan tuduhan "mempertuhankan" Ali dan keturunannya kalau memang benar  ada , hal ini hanya dilakukan oleh sekelompok kecil sekali yang kini sudah punah sama sekali. Mereka ini disebut sebagai kaum Ghulat yang bererti kaum extrimis. Kaum ini bahkan oleh kaum Syi'ah sendiri sangat dibenci dan digolongkan sebagai orang-orang kafir musyrik yang tak ada hubungan dengan kaum muslimin dan oleh Syi'ah Imamiah mereka wajar dilayan sebagai orang kafir samada dalam waktu damai ataupun perang, mereka tidah berhak mewarisi harta kerabat mereka yang mati, dan tidak halal mengahwini wanita muslimat . (lihat: kitab Al Fiqhu 'Alal Madzahibil Khamsah karangan Muhamamad Jawad Mughniyah, Ulama Syi'ah tersohor)


Tidak benar pula kaum Syi'ah mengkafirkan sahabat-sahabat Rasul saw seperti Abu Bakr, Umar, Uthman dan lainnya,meskipun mereka menyalahkan dan mengecam mereka di atas beberapa tindakan peribadi sahabat tersebut. Sebab kaum Syi'ah berpendirian bahawa kedudukan orang-orang yang disebut sebagai sahabat Nabi saw tidak terpisah dari penilaian Al Quran dan sunnah Rasulullah saw sendiri terhadap mereka di samping penilaian secara akal . Sahabat Nabi saw adalah bertingkat-tingkat tarafnya ada yang setianya tidak berbelah bagi sanggup korbankan apa jua demi Rasul, ada yang masih lemah imannya dan ada yang munafiq dan ada yang sangat sedikit pengtahuan Islamnyayang di panggil muallafun qulubuhum. Barang harus diingat bahawa mereka kalangan sahabat Nabi saw bukanlah orang yang ma'sum yang bebas dari dosa dan noda sehingga tidak boleh dipersalahkan sama sekali. Walau bagaimana pun kalangan Ulama Syi'ah ramai yang menambah perkataan radhiallahu anhu  (semoga redha Allah dilimpahkan ke atasnya) dibelakang nama Abu Bkr, Umar dan Uthman (rujuk kitab Al Muraja'at)


Adapun pada hakikatnya perbedaan prinsipal antara Syi'ah dan Ahlussunnah terletak pada persoalan pokok tentang pengganti Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda baik dibidang pemerintahan maupun di bidang spiritual. Kaum Syi'ah berpendapat pemegang jawatan Khalifah telah ditetapkan dan diwasiatkan oleh Nabi saw dan dalam hal ini yang ditunjukan oleh baginda ialah Ali Abi Thalib. Sedangkan Ahlussunnah berpendapat Nabi saw wafat tanpa mewasiatkan jawatan khalifah kepada sesiapapun. Akibatnya kaum Syi'ah hanya mau berpegang dari apa yang mereka terima dari Ahlul Bait, keluarga Nabi saw dan keturunan baginda sahaja dalam segala hal yang bersangkutan dengan hal-hal pemahaman keagamaan. Mereka berpegang teguh dengan pendirian bahawa Ali Abi Thalib dan keturunannya dari isterinya Fatimah puteri Rasulullah saw adalah kaum yang berhak menduduki jawatan khalifah dan kepimpinan tertinggi ummat.


Sejarah kaum musliman didaerah mana dunia pun telah membuktikan bahawa sikap keras dan fanatik yang berlebihan dengan cara menganggap mazhab kita saja yang memonopoli kebenaran  dan yang lain itu sesat dan perlu diganyang habis ternyata menghasilkan perpecahan, pertikaian yang tiada kesudahan dan tragedi-tragedi yang meresahkan serta menjalarnya kedengkian sesama muslim. Satu yang amat menguntungkan ialah kaum Syi'ah dan Sunnah tidak banyak berbeda dalam hal mengangkat kemuliaan Ahlul Bait dan simpati yang mendalam terhadap Imam Ali bin Abi Thalib dalam usaha memperjuangkan jawatan khalifah sesuai dengan haknya yang sah dan keturunanya. Kedua mazhab ini juga  bersetuju bahawa Ali disisi Nabi umpama Harun disisi Musa. Begitu juga dalam kenyataannya bahawa kedua mazhab Syi'ah dan Sunnah tidah berbeda dalam usuluddin maupun furu. Kedua mazhab juga mengistimbath dan yakin tentang  ayat Al Quran mengenai al itthrah yang berbunyi " Sesungguhnya Allah hanya akan menghilangkan segala kenistaan dari kamu wahai Ahlul Bait dan menyucikan kamu sebersih-bersihnya." (QS al ahzab: 33)

Assyeikh Mahmud Syaltut ketika menjadi rektor al Azhar pada tahun 1959 berkata ..."Agama islam tidak mewajibkan mazhab tertentu atas siapapun di antara pengikutnya. Setiap muslim berhaq sepenuhnya untuk mengikuti salah satu mazhab yang manapun jua  yang telah sampai kepadanya dengan cara yang benar dan menyakinkan dan perincian tentang hukum-hukum yang berlaku telah dicatatkan dengan teliti dan sempurna. Begitu pula setiap orang yang telah mengikuti salah satu di antara mazhab-mazhab itu diperbolehkan pula untuk berpindah kemazhab lainnya yang manapun juga dan tiada berdosa sedikitpun perbuatannya itu...." dan beliau berkata lagi  "sesungguhnya mazhab Ja'afariah yang dikenal sebagai sebutan Syi'ah Imamiyyah Itsna 'Asyariyah adalah suatu mazhab yang setiap orang boleh beribadat dan berpegang dengan aturannya seperti juga mazhab lainnya..."   


Kaum muslimin sayugianya faham akan hal ini baik dari kalangan orang awam, ketua masyarakat maupun penguasa agar kita mampu melepaskan diri dari  kongkongan assobiyah dalam membela mazhab tertentu tanpa dilandasi oleh kebenaran.

Kalau nak kenal orang lihatlah siapa kawan dia.

Sehari dua baru ni YB. Dato' Ibrahim Bin Ali (Brehimali) ahli parlimen Pasir Mas telah menyarankan agar YAB. Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (Tokguru) menjalankan pemeriksaan doktor  untuk menentukan status kesihatannya. Irama kenyataannya itu adalah berbaur seolah kalau Tokguru tak sihat maka tak layaklah untuk meneruskan kepeimpinannya di Kelantan. Bukan setakat pemeriksaan doktor biasa malah Brehimali mencadangkan supaya taraf kesihatan Tokguru diperiksa oleh Lembaga Perubatan. Maknanya apabila seseorang dibuat pemeriksaan oleh Lembaga Perubatan maka ianya suatu perkara yang serius yang wajib diperiksa oleh sekelian pakar-pakar perubatan seperti pakar saraf, pakar otorpedik, pakar jantung, pakar otak dan macam-macam pakar lagi sebagaimana yang dipiawaikan oleh piawaian perubatan antarabangsa dan diiktiraf oleh World Health Organisation PBB.

Sebelum terlanjur jauh saya menulis saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Brahimali dan syukur kepada Allah kerana Brahimali yang juga sahabat saya telah selamat menjalani pembedahan jantung dihospital Ampang Putri Kuala Lumpur. Semoga kesihatanya bertambah baik diberi Allah dan dapatlah beliau berbakti kepada rakyat Pasir Mas yang diwakilinya dan berjuang untuk orang Melayu Malaysia melalui NGOnya PERKASA untuk membela orang Melayu yang selayaknya menjadi tuan dibumi sendiri.

Berbalik bab Lembaga Kesihatan yang dicadangkan Brahimali supaya memeriksa Tokguru, saya rasa itu satu cadangan yang tidak pantas, sebab kalau ya pun Tokguru tak sihat apa masalahnya dengan Brahimali?. Tokguru adalah wakil rakyat yang dipilih oleh pengundinya, bukan mewarisi jawatan melalui keturunan seperti raja atau sultan sebagaimana Brahimali menyandang jawatan wakil rakyat yang bukan diwarisi dari almarhum ayahandanya melainkan kedua mereka dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi. Saya fikir tentu Brahimali masih ingat fenomena PRU 1969 di mana wakil rakyat PAS DUN Lemal Pasir Mas memenangi pilihanraya hanya dengan meletak songkok sahaja orangnya entah kemana .Ini pilihan rakyat kita kena hormati.

Antara dua watak diatas sayugia saya menarik perhatian penjenguk sekelian bahawa untuk kita mengenali sesaorang itu maka wajar kita melihat siapa kawannya. Kalau kita lihat kawan Tokguru ialah watak-watak seperti Sheikh Yusoff Al Qardhawi, Sheikh At Tantawi, Abdul Aziz bin Baz, Ibrahim Libya, Maulana Abdul Qadir , Mohd. Sayuti Omar (pernah jadi sahabat Brahinali) dan ramai lagi tokoh-tokoh yang disegani dari segi keilmuan dan ilmunya pula boleh ditumpangi dan dijadikan rujukan op.cit ataupun idit. Manakala susuk watak yang mengelilingi dan bersahabat dengan Brahimali seperti Yusof Merah, Daudbrahim, Soberishafei, Zainalabidin Abdul Rahman, Yusofcomel, dan ramai lagi . Watak-watak ini tidak ada yang tak kena mengenai peribadinya tetapi untuk dibanding dengan kenalan Tokguru  adalah suatu perkara yang dikatakan oleh orang Kelantan sebagai tak makan ganda. Tujuan saya memaparkan perbandingan ini hanya sekadar untuk memenuhi makna tersirat disebalik tajuk artikel saya ini sahaja.  Ada orang gemok berdoa  memohon pada Tuhan yang berbunyi" Ya Tuhan jika sekiranya aku mustahil untuk jadi kurus maka tolonglah gemokkan kawanku ya Tuhan".   

Sunday, December 26, 2010

1Malaysia Haram di Selangor. Apa Masalahnya.

Riuh gegak gempita sehingga ke ukuran 9.10 skala ritcher gelobang magnitudnya bila kerajaan Selangor tidak membenarkan banner , kain rentang apa-apa saja yang berkaitan dengan 1Malaysia dibentang dan digantung dimana-mana ruang awam di Selangor. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyudin kata kerajaan PR takut dan fobia dengan kejayaan 1Malaysia, kononnya  gelombang rakyat menyahut dan menyokong 1Malaysia hendak disekat oleh kerajaan PR Selangor (beratus ribu petani seperti Wakjoyo, di Sabak Bernam dan nelayan kulaan Asnawi di Bagan Tengkorak Tanjung Karang berdemo menyatakan sokongan yang tak berbelah bagi kepada konsep 1Malaysia) . Lepas tu ada pula mamat mana pula dari kabinet kata larangan kerajaan Selangor tu tidak berasaskan demokrasi. Selangor telah mematikan demokrasi, Selangor tidak menghormati hak asasi manusia, Selangor itu dan ini macam-macam istilah yang mereka sendiri pun tak tahu makna diucapkan, Hairannya kenapa YB. Syukur ketua penerangan UMNO Selangor diam saja tak buat apa-apa komen!!!!.

Ammaba'du  sidang pembaca yang dirahmati Allah sekelian, sebelum Perdana Menteri, TPM, dan menteri-menteri yang tak ada idea nak bercakap mengenai sesuatu isutolong toleh dulu kebelakang apakah kerajaan UMNo/Bn buat tu selaras atau tidak dengan roh dan semangat demokrasi seandainya UMNo/Bn pencinta demokrasi. Antara amalan dan perlakuan UMNo/Bn yang dilihat 'demokrasi ialah':

i. Bila UMNO kalah dalam PRU 1990 di Kelantan maka diwujudkan JPP untuk memantau pembangunan projek Persekutuan di Kelantan , padahal sebelum ini tugas ini dilaksanakan oleh SDO. Begitu juga negeri-negeri lain yang ditadbir oleh PR.

ii. Kenapa di negeri yang diperintah oleh PR dipanggil Kerajaan Pembangkang, sedangkan kerajaan itu dipilih oleh rakyat?. Kalau lagu tu kerajaan Melaka bolehlah dipanggil Kerajaan Kerajaan.!!!!

iii. Bila hasil petroleum ditemui di Terengganu masa UMNO memerintah dibayar 5% hasil perolehan petroleum mengikut akta petroleum 1974 kepada kerajaan negeri. Bila UMNo kalah PRU 1999 bayaran 5% ini dihapuskan dan ditukar kepada wang ehsan.(Wang sedeqah). Begitu juga apa yang berlaku kepada Kelantan. Dalam kes Kelantan lagi klasik aroma demokrasinya bila Mamat Pencerut (brand cohiba RM160.00 seputung) dari Bacok bersungguh-sungguh menyokong  langkah kerajaan UMNo untuk tidak membayar royalty kepada Kelantan.

iv. Parlimen yang dikuasai oleh UMNo/Bn telah menggantung ahli parlimen PR bila soalan yang ditanya tidak boleh dijawab oleh kerajaan.

v. Mamat Pencerut dari Bachok kata kalau UMNo perintah Kelantan isu air bersih di Kelantan akan selesai dalam masa 2 tahun sahaja. Maknanya kalau PAS masih terus memerintah Kelantan maka isu air tidak akan selesai (baca kerajaan pusat tak akan tolong walaupun mampu ).

vi. Kementerian Pertanian melalui skim beras ST15 beri kuota jualan pada kroni dan rakan-rakan untuk buat untung atas angin. Nak tau makenismanya tanya Dato Matbari dan Dato Pieasnawi.

vii. Kalau LKS, DSAI, atau TGHA pergi jumpa Menteri Besar Johor ke, Melaka ke , Terengganu ke minta dengannya kebenaran untuk memacakan papantanda besar yang mempunyai tagline yang favor kepada PR rasa tanpa cerita banyak mereka akan beri kebenaran.Kan itu demokrasi.....

viii. Semua laporan berita dalam RTM , stesyen TV milik rakyat tidak pernah keluar berita yang benar mengenai PR, bahkan kerajaan negeri tidak pernah diberi slot untuk menerangkan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan mereka dinegeri yang PR perintah.

ix. Cara pemberitaan mengenai kerjaan PR yang disiarkan dalam semua media utama negara semua bersifat spinning (putar belit). Kalau ada nilai berita maka tiada kebenaran, kalau ada kebenaran maka tiada nilai berita. (Sama dengan amalan agensi berita Russia zaman komunis dulu iaitu Tass dan Pravda)

x.  Ada berani ke UMNo/Bn buat piliharaya Kerajaan Tempatan, kalau mereka betul cinta dan menjunjung demokrasi kerana asas kepada Negara Persekutuan Malaysia  terletak diatas 3 Kerajaan iaitu Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan yang mempunyai senarai tanggungjawab tersendiri. Senarainya dinamakan senarai pusat, senarai negeri , senarai bersama dan senarai tempatan. Maka kepada UMNo / Bn mohon saya cadangkan supaya diadakan pilihanraya peringkat Kerajaan Tempatan untuk memilih Ahli Majlis Tempatan.

Pembaca yang dihormati, kalau dilihat kepada fakta di atas saya nampak UMNo ni masih pakai demokrasi dalam memerintah, doktrin demokrasi ini masih dipakai asalkan bermenafaat pada mereka. Kalau kita cerita hal demokrasi maka mereka kata merekalah juara demokrasi, kalau kita cerita hal Islam mereka kata merekalah kerajaan Islam yang diiktiraf oleh Yusoff Qardhawi, itulah UMNo yang penuh dengan amalan pragmatisnya. Maka akhir kalam saya nak kata amalan demokrasi yang diamalkan oleh UMNo ini bukan dari Plato, bukan dari Ceaser, bukan dari demokrasi Yunani tapi yang diambil dari tokoh tersohor mengenai demokrasi iaitu Syeikh Abdul Bewak  Ibnu Syed Llidah Alcabangi yang dipopularkan dan dianuti oleh Syed Sembayudin Alpagohi . 
  

Thursday, December 23, 2010

Apa masalahnya kalau bukan islam jadi peguam syarie'i.

Lebai harusani perak ni aku tak faham dengan sikap jumudnya itu. Akupun tak faham macamana dia boleh dilantik jadi mufti, nak kata berdasar kelulusan ugama yang muktabar tinggi, rasanya tidak juga kerana beliau mengaji hanya sekadar Kolej Islam Kelang zaman dulu je, nak kata mempunyai latar belakang akedemik yang disegani didunia akedemik tidak juga,tak pernah bentang kertas kerja ilmiah di mana-mana seminar ilmu Islam yang dianjurkan oleh pertubuhan Islam dunia yang tersohor. Yang aku tau Lebai Perak ni hanya sekadar meng-enggehkan apa yang dikatakan oleh tuan-tuan politiknya. Semalam Lebai Perak ni menyibuk pula fasal bukan islam tidak layak jadi peguam syarie.

Islam tu agama yang syumul dan bersifat Rahmatanlil Aalamin # (Kok kalu lebai ni boleh terangkan feel apa kalimah  # diatas samada feel madi, feel amr atau feel mudhori'. ). Maknanya Islam itu adalah satu suruhan dan perintah dari Allah untuk manusia hidup dalam hukum Islam tanpa mengira apa jua bangsa dan sukunya dan kerja orang islam yang dah senior ialah dakwah rakan bukan islam. Jika sekiranya bukan islam tidak dibenarkan menjadi peguam syarei, apa akan jadi sekiranya Malaysia ditadbir mengikut undang-undang Islam kelak?, takkan bukan Islam tidak dibenarkan menjadi peguam kerana semata-mata dia bukan Islam, takut mereka tafsir Quran dan Hadith secara salah ? habis tu bagaimana orang bukan Inggeris boleh mentafsir perlembagaan dan undang -undang Malaysia yang dibuat oleh British tanpa apa-apa masalah? Kalau ini sifir yang dipakai oleh Lebai Perak maka orang Melayu  India, dan Cina di Malaysia tak boleh jadi peguam takut nanti mereka mentafsir bahasa Inggeris secara salah .Keduanya bagaimana pula graduanbukan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa yang mengikuti pengajian dalam jurusan Islamic Jurisprudence,mereka nak kerja apa?, bila mereka nak amalkan ilmu yang dipelajari?  Patutnya kita sokong perkara ini kerana bila bukan Islam menjadi peguam syrei mereka akan melihat keindahan Islam dan mereka juga sudah pasti akan mengkaji Islam berdasarkan Quran , Hadis, Ijmak dan Qias untuk memenangi kes yang mereka wakili dan akhirnya kita berharap mereka akan menerima kebenaran Islam (Ini adalah isu wakallah bukan Walayyah). Abis tu Lebai Perak yang bercakap tu tafsir Quran dan Hadith secara haq ke? dan berpendirian seperti apa yang Quran dan hadith nak ke?. Sebenarnya eksekutif penguasa yang jahat yang takut orang bukan Islam menjadi peguam syarei kerana apabila orang bukan Islam memahami Islam yang sebenarnya akan terbongkarlah kebobrokan mereka selama ini dan mereka juga takut bukan Islam sedar bahawa apa yang penguasa katakan mengenai Islam selama ini adalah bohong dan tiada yang tidak bohong melainkan bohong jua
Begitu juga isu bukan Islam membaca Quran dan memasuki masjid. Heboh satu  dunia bila ada sorang mamat bukan Islam membaca Quran kononnya takut tersalah nahw, takut tersalah tajwidnya , takut tersalah tafsirnya. Kalau kita buka sikit minda kita dan jangan jumud, bersandarlah pada logik. Macamana orang yang cerdik nak bersetuju dengan satu-satu kenyataan atau fakta tanpa mengtahui dan memahami fakta tersebut. Untuk memahami fakta maka ia perlu dibaca dan diteliti . Alangkah ironisnya dan dangkalnya sikap masyarakat kita yang kebanyakannya dibentuk oleh tokoh-tokoh seperi Lebai Perak ini yang tidak dapat menerima apa saja perkara baru yang mencarik adat walaupun ianya benar. Cat Steven (nama sebelum Islam) memeluk Islam setelah beberapa kali membaca dan mengkaji Quran dan barulah yakin mengenai kebenaran Islam dan beliau memeluk Islam dengan penuh yakin seterusnya menjadi seorang Islam yang bermutu yang berkata benar samada ramai-ramai atau keseorangan dan menggunakan nama Yusof Islam. 

Sepatutnya kita orang Islam tanpa mengira apa golongan berlapang dada bila YB. Nga Ko Meng membaca petikan Al Quran dengan segera kita rama-ramai memanjatkan doa kepada Allah agar bertambah seorang lagi umat Islam yang bermutu di Malaysia .  Saya lihat masih ramai lagi penguasa-penguasa agama di Malaysia yang diselimuti sifat jumud dan tidak mahu berlapang dada dalam menerima pendapat orang lain sedangkan indahnya Islam itu kerana perbedaan pendapat mengenai perkara-perkara yang furu' bukan usul. Penguasa agama ini juga masih ramai yang terkongkong dalam disiplin ilmu sempit yang dipelajarinya dan seolah-olah ingin memonopoli taraf Ulama itu kononya milik kelompok mereka sahaja  dan mereka lah yang jitu dalam membuat segala hukum tanpa boleh diperbahaskan oleh pihak lain.Maka itu marilah kita takrifkan kembali makna Ulama.  Bagi saya takrif Ulama' itu ialah manusia yang mempunyai ilmu yang bermenafaat dan taqwa (takut : takut itu sendiri asal dari perkataan taqwa)) kepada Allah (kalau seorang yang mempunyai ilmu kedoktoran kata nabi simpan janggut dulu kerana tiada pisau cukur dia tidak boleh diistilahkan sebagai ulama). Lihat ulama Islam besar zaman dahulu seperti Al Kawarizmi, Ibnu Sinna, Al Farabi dan lain-lain mereka bukan hanya sekadar ahli dalam hukum haid dan nifas atau darah istihadah saja bahkan mereka adalah pakar ilmu bintang, pakar bedah, pakar perubatan, pakar hisab dan seumpamanya yang menabur bakti dan membina tamaddun ummah. Jadi bagi saya bila seorang jurutera yang bertaqwa (buat apa yang disuruh tinggal apa yang dilarang) kepada Allah maka dia adalah ulama. Perkataan asal ulama ialah dari perkataan ilmu, dan orang yang mempunyai ilmu itu secara literalnya dipanggil ulama dan semua ilmu di alam ini adalah hak kurniaan Allah sebagai anugerah kepada manusia waima ilmu apa saja. Jadi kesimpulan saya siapa yang mempunyai ilmu yang bermenafaat dan bertaqwa pada Allah boleh kita panggil Ulama.  Maka kepada sesiapa pembaca yang boleh menghuraikan dan memberi komen ilmiah mengenai pendapat saya ini amat dialu-alukan supaya minda kita terbuka dan jangan terus sempit sesempit mamat Lebai Perak yang hanya mahir bab rukun sembelih, syarat-syarat sah niat solat hajat, dan kaifiah talqin kematian saja.